Selasa, 15 Oktober 2013

SOLAT TASBIH - Kelebihan & Kaifiatnya

Dari Abdullah Bin Abbas r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a :-


“Wahai pamanku! Tidakkah aku berikan kepadamu, tidakkah aku kurniakan kepadamu, tidakkah aku ajarkan kepadamu, tidakkahaku tunjukkan kepadamu sepuluh perkara? Jika kamu melakukannya, nescaya Allah SWT mengampuni dosa-dosamu yang terdahulu dan yang akan datang, dosa-dosa baru maupun dosa-dosa lama, dosa-dosa yang dilakukan dengan sengaja maupun tidak sengaja, dosa-dosa kecil maupun besar, ataupun dosa yang dilakukan dikhalayak ramai, semuanya akan diampuni. Yaitu hendaklah engkau mengerjakan empat rakaat (Dengan niat Solat Tasbih) dan (dan Baginda SAW menerangkan cara mengerjakan Solat Tasbih itu).”

“Jika mampu maka kerjakanlah Solat itu setiap hari, jika tidak maka setiap hari Jumaat atau sebulan sekali, jika tidak juga maka setahun sekali, sekiranya ini pun tidak dapat maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.”
(Hadits Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah & Baihaqi dalam Sahih Tirmidzhi)


Ada banyak lagi hadits yang diriwayatkan oleh beberapa orang Sahabat r.anhum walaupun setengah ulama menolak hadits ini kerana menurut mereka mana mungkin mendapat ganjaran yang sedemikian banyak hanya dengan mengerjakan solat empat rakaat sahaja.

Terutama mengenai dosa-dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah kecuali dengan bertaubat. Akan tetapi kerana hadits itu diriwayatkan oleh sebahagian besar para sahabat maka tidak mungkin untuk ditolak kerana itu adalah bergantung kepada belas rahim dari Allah SWT.

Solat Tasbih sangat penting dan Rasulullah SAW sendiri mementingkannya dan mengajarkan dengan penuh rasa belas kasih kepada ummatnya. Para Sahabat r.anhum, para tabiin, para ulama Islam, ahli-ahli hadits dan ahli-ahli fiqih serta ahli sufi sangat mementingk Solat Tasbih ini pada zaman mereka.

Seorang ulama hadits yang terkemuka, iaitu Imam Al-Hakim rah.a berkata. “Salah satu alasan yang menyatakan hadits itu sahih, adalah tiap ulama dan ahlullah sejak zaman tabi’in hingga zaman sekarang telah mengamalkan Solat Tasbih itu dan mengajarkannya kepada ummat Islam. Salah seorang daripadanya adalah Abdullah bin Mubarak rah.a iaitu guru kepada Imam Bukhari rah.a.

KAIFIAT SOLAT TASBIH

Sekranya dilakukan pada waktu siang hari maka hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan satu salam manakala sekiranya dilakukan pada waktu malam maka hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan 2 salam.

CARA MENGERJAKANNYA

Ada dua cara Solat Tasbih ini boleh dilakukan :-

Cara yang pertama sesudah kita berniat dan bertakbir, kita membaca doa iftitah. Selanjutnya kita membaca tasbih “Subhanallah Walhamdulillah Walaailahaillallah Wallahu Akbar” sebanyak 15 kali. Kemudian membaca ta’awudz dan Al-Fatihah serta surah. Sesudah itu membaca tasbih sebanyak 10 kali. Selanjutnya dibaca sebanyak 10 kali didalam rukuk, i’tidal, sujud, duduk diantara dua sujud dan sujud kedua. Tidak perlu dibaca sebelum tahiyat awal atau akhir.

Cara yang kedua pula bacaan tasbih sebanyak 15 kali dibaca selepas membaca Alfatihah dan surah. Selanjutnya tasbih dibaca sebanyak 10 kali didalam rukuk, i’tidal, sujud, duduk diantara dua sujud, dan sujud kedua dan sebelum bangun pada rakaat yang berikutnya. Dan juga tasbih dibaca sebelum membaca tahiyyat awal dan akhir.

Dalam beberapa hadits ada disebutkan bahawa ada tambahan didalam setiap Tasbih itu dengan “Laa Hawla Walaa Quwwata Illaa Billahil ‘Aliyyil ‘Azhim”

Surah-surah yang biasa dibaca disetiap empat rakaat itu adalah disarankan didalam beberapa hidits agar membaca 20 ayat didalam Al-Quran. Ada ulama berpendapat agar membaca dari Surah Al-Hadid, Al-Hasyr, As-Shaf, Al-Jumuah atau At-Taghabun. Ada pula sebahagian yang menyarankan Surah Al-Zilzilah, Al-‘Adhiat, At-Takatsur, Al-Asyr atau Al-Ikhlas. Namun kita juga boleh membaca mana surah didalam Al-Quran.

Jika anda terlupa membaca tasbih ini pada sesuatu tempat maka hendaklah diganti kepada tempat yang berikutnya. Tasbih-tasbih itu janganlah dihitung dengan lidah kerana Solat boleh menjadi batal tetapi boleh dihitung dengan jari dengan menekan jari-jari. Apabila dibaca sekali tekanlah satu jari tanpa menggerakkan-gerakkan jari itu dan begitu seterusnya.



DOA SOLAT TASBIH

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِيْنَ وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ وَوَجَلَ أَهْلِ الْخَشْيَةِ وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّعْبَةِ وَتَعَبُّدَ أَهْلِ الْوَرَعِ وَعِرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ حَتَّى نَخَافَكَ .


اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مَخَافَةًَ تُحْجِزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ حَتىَّ نَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلاً نَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ وَحَتَّى نُنَاصِحَكَ فِيْ التَّوْبَةِ وَخَوْفًا مِنْكَ حَتَّى نُخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ وَحَتَى نَتَوَكَّلَ عَلَيْكَ فِيْ اْلأُمُوْرِ كُلِّهَا وَحَتَّى نُحْسِنَ الظَّنِّ بِكَ ، سُبْحَانَ خَالِقِ النُّوْرِ.

 “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk dan jadikanlah amalan kami ini seperti mana amalan ahli yaqin dan jadikanlah kami dari golongan orang yang menerima nasihat orang-orang yang bertaubat dan keazaman kami seperti mana orang-orang yang sabar dan gementar kami seperti mana orang yang takut dan permohonan kami seperti mana permohonan orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat seperti orang-orang yang warak dan jadikanlah kami termasuk kedalam orang takut kepada Engkau.”

"Ya Allah, kami memohon kepada Mu, jadikanlah kami golongan yang takut yang menghalang kami daripada melakukan maksiat sehinggalah kami beramal dengan taat kepaad-Mu amalan yang kami merasakan perlu mendapat keredhaan Mu dan juga sehingga kami bersungguh-sungguh pada bertaubat serta takut kepada Mu dan juga sehingga kami betul-betul ikhlas dan tawakkal kepada Mu dalam setiap perkara dan supaya kami menjadi orang yang baik sangka terhadap  Engkau, Maha Suci Engkau sebagai Pencipta.”

Solat Sunat Tasbih

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

.
Solat ini disebut Solat Tasbih kerana diucapkan tasbih sebanyak 300 kali dalam empat rakaat solatnya. Solat Sunat Tasbih dianjurkan kalau boleh tiap-tiap malam, andaikata tidak sanggup, kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
.
Solat sunat Tasbih ini telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abbas bin Muththalib. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Jika kamu mampu solat tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali .“  ( HR. A bu Daud dan Ibnu Majah )
.
Solat Tasbih ini dapat membuka pintu ampunan Allah SWT. di atas segala dosa, dari awal hingga akhir, lama maupun baru, disengaja atau tidak, kecil ataupun besar, nampak maupun tersembunyi.
.
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a.; “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada bapa saudaranya Abbas bin Abdul Muthallib; ‘Wahai al-‘Abbas, bapa saudaraku! Sukakah aku berikan, aku kurniakan dan aku ajarkan kepadamu ‘sepuluh kelebihan’ jika kamu lakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa kamu dari awal hingga akhirnya, yang lama dan yang baru, yang tersalah dan yang disengajakan, yang kecil dan yang besar, yang tersembunyi dan yang terang-terangan; iaitulah kamu menunaikan solat empat rakaat di mana kamu membaca pada setiap rakaat surah al-Fatihah dan satu surah (yang lain), kemudian apabila selesai membaca (al-Fatihah dan surah itu) engkau bacalah ketika sedang berdiri itu; “سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله والله أكبر” (Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaaha Ilallah Wallahu Akbar) sebanyak 15 kali. Kemudian kamu rukuk dan semasa rukuk itu kamu membaca sebagaimana bacaan tersebut sebanyak 10 kali. Kemudian kamu angkat kepalamu dari rukuk dan membaca 10 kali juga (ketika sedang berdiri I’tidal itu). Kemudian kamu sujud dan membaca semasa sujud sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangun dari sujud dan membaca 10 kali lagi. Kemudian kamu sujud semula dan membaca 10 kali juga. Kemudian engkau angkat kepalamu dari sujud dan membacanya 10 kali lagi sebelum bangun ke rakaat berikutnya. Demikianlah 75 kali pada setiap rakaat. Hendaklah kamu lakukannya dalam empat rakaat. Jika kamu dapat kerjakan solat itu pada setiap hari sekali, maka lakukanlah. Jika tidak mampu, lakukanlah sekali pada setiap jumaat. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap bulan. Jika tidak mampu, lakukanlah pada setiap tahun. Jika tidak mampu juga, lakukanlah sekali seumur hidup.” (HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
.
.

Cara Mendirikan Solat Sunat Tasbih

.
Solat sunat Tasbih dilakukan sebanyak empat rakaat dan satu salam sekiranya solat itu didirikan pada siang hari. Manakala jika didirikan pada malam hari, 4 rakaat itu dikerjakan dengan 2 salam ( 2 rakaat, 1 salam).
Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama (lebih kurang 4 minit) kerana ia diselangi bacaan tasbih. Setiap rakaat jumlah tasbihnya  75 kali, maka  jumlah keseluruhan tasbih yang dibaca adalah 75 tasbih  X 4  rakaat = 300 kali.
.

Caranya;

.
1.  Niat Solat Sunat Tasbih:
a)  Niat Solat Tasbih 2 Rakaat,
“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
 .
b)  Niat Solat Tasbih 4 Rakaat,
“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh ar-ba-’a rok-’a-tin lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih empat raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
 .
.
2.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
        1. Rakaat 1:  Surah At-Takathur atau Ad-Dhuha
        2. Rakaat 2:  Surah Al-Ashr atau Al-Insyiraah
        3. Rakaat 3:  Surah al-Kafirun atau Al-Kauthar
        4. Rakaat 4:  Surah Al-Ikhlas.atau An-Nashr.
.
.
3.  Bacaan Tasbihnya ialah:
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar;   Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
.
Nota;
*Buat permulaan sekiranya berasa berat, bacalah tasbih di atas pada barisan pertama sahaja.
.
.
4.  Lakukanlah seperti solat-solat biasa yang lain beserta bacaannya, tetapi tambahlah bacaan tasbih di bawah di akhir setiap bacaan sebelum berpindah kepergerakan seterusnya.
.
.
5.  Bacaan tasbih dalam satu rakaat ialah:
      • Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
      • Rukuk - 10 kali tasbih
      • Iktidal - 10 kali tasbih
      • Sujud pertama - 10 kali tasbih
      • Duduk antara 2 sujud - 10 kali tasbih
      • Sujud kedua - 10 kali tasbih
      • Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud, - 10 kali tasbih.
.
.
6.  Jumlah tasbih dalam satu rakaat ialah 75 tasbih. Lakukan perkara yang sama pada rakaat seterusnya. Ulang langkah 1-7 sampai 4 rakaat, jadi jumlah semuanya 300 tasbih.
.
.
7.  Sekiranya terlupa membaca tasbih di satu-satu tempat, bolehlah digantikan di tempat berikutnya.
.
.
8.  Harus diingat pada rakaat kedua (malam hari) atau keempat (siang hari) setelah membaca Tasyahhud, dibacakan juga Tasbih 10 kali sebelum memberi salam.
.
.
9. Membaca doa solat tasbih;

Doa harian dan Pengertian doa

Di dalam kesibukan menjalankan pekerjaan harian, kita kadangkala terasa payah melakukan sesuatu. Bagaimanapun, kita selalu terlupa Allah subhana wa ta'ala berada di samping kita dan telah berjanji akan memudahkan hidup kita jika kita memintanya. Di dalam surah Al-Mukmin ayat 60, Allah menjelaskan:




Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina dina!

Doa Harian ini adalah himpunan doa-doa yang mudah tetapi penting di dalam pekerjaan dan amalan seharian kita, sebagaimana yang pernah dilazimkan oleh Nabi Muhammad s.a.w semasa hayat baginda.


Oleh kerana semua bacaan doa dan zikir tersebut dalam Bahasa Arab, maka disarankan kepada pembaca agar mempelajari bacaan teks doa atau zikir
daripada orang yang boleh atau memahami bahasa arab agar setiap kalimat yang dibaca betul dari segi bacaan dan maknanya kerana apabila bacaan berubah, maka ertinya juga akan berubah. Kalimat bahasa arab juga adakalanya tidak dapat diterjemahkan ertinya dengan sepenuhnya kerana Nabi Muhammad s.a.w telah diberi kelebihan oleh Allah dengan "Jawami Al-Kalim" iaitu ucapan yang panjang dan mendalam. Adapun terjemahan setiap doa dan zikir hanyalah sebagai bantuan untuk memahami erti setiap bacaan agar menambahkan rasa khusyuk sewaktu membacanya.

Doa dalam bahasa arab, berasal dari kata ( دَعَا - يَدْعُو - دَعْوَة ) yang bererti, memanggil, memohon atau meminta. Orang yang berdoa ertinya orang yang mengajukan permohonan kepada Allah tentang kebaikan diri, keluarga dan harta benda,urusan dunia, agama dan akhirat. Meminta turunnya rahmat dan terhindar dari bencana.

Di dalam Al-Quran kata-kata doa banyak kita temukan dalam beberapa ayat dan surah, mempunyai beberapa erti yang berbeza kandungan dan makna dari ayat-ayatnya dengan perbezaan susunan kalimat-kalimatnya pula.
Umpamanya:


a. Doa yang bererti ibadah atau menyembah. Sebagaimana firman Allah:



Dan jangan kamu berdoa (menyembah) selain Allah, sesuatu yang tidak memberi manfaat dan mudharat kepadamu...
(Surah Yunus ayat 106)

b. Doa yang bererti Istighathah (meminta tolong). Seperti Firman Allah:


...dan minta tolonglah kepada saksi-saksimu (sekutu-sekutumu) selain Allah jika kamu orang-orang yang benar.
(Surah Al-Baqarah ayat 23)
c. Doa yang bererti As-Sual (memohon), Seperti Firman Allah:


...mintalah kepadaKu, akan Ku perkenankan pintamu...
(Surah Al-Mukmin ayat 60)
d. Doa yang bererti An-Nidaa' (panggilan). Seperti Firman Allah:

Iaitu pada hari DIa memanggil kamu...
(Surah Al-Isra' ayat 52)
e. Doa yang bererti Ath-Thana' (pujian). Seperti Firman Allah:

Katakanlah Pujilah Allah atau Pujilah Ar-Rahman...
(Surah Al-Isra' ayat 110)
f. Doa yang bererti Al-Qaul (ucapan). Seperti Firman Allah:

Ucapan mereka di dalamnya ialah: Maha Suci Ya Allah...
(Surah Yunus ayat 10)

Isnin, 7 Oktober 2013

Salam Perkenalan

Salam 1 Malaysia.Saya Danial merupakan blogger baru yang meminati dalam bidang ini.